Sukarelawan Al-Falah YADIM KPTMKB

Ditulis oleh Mohd Azuraidi bin Harun on . Posted in Berita Kampus

SABTU, 10 Oktober 2015 - KPTMKB dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiyyah Malaysia (YADIM) meneruskan aktiviti khidmat sosial dengan menubuhkan sukarelawan Al-Falah YADIM-KPTM dibawah seliaan Ustaz Wan Ab Aziz Bin Wan Daud, Pensyarah KPTMKB.

Objektif utama penubuhan sukarelawan ini antaranya ialah:

  1. membawa pendekatan baru dalam dakwah melalui khidmat sosial disamping menunjukkan kecaknaan kepada yang kurang bernasib baik (pesakit kronik),
  2. membawa imej keprihatinan dan cakna institusi dakwah serta institusi pengajian tinggi kepada pesakit yang kurang upaya dalam masyarakat setempat,
  3. memupuk sikap prihatin dan sukarelawan dikalangan pelajar/mahasiswa kepada masyarakat yang kurang bernasib baik,
  4. membentuk pasukan jururawat muslim mesra ibadah, dan
  5. membawa pesakit dekat dengan agama Islam.

Seiring dengan objektif tersebut, pada 10 Oktober 2015 yang lalu sukarelawan Al-Falah ini berjaya mengadakan program turun padang Siri 1 bertempat di DUN Semerak, Pasir Puteh, Kelantan. Program ini disertai oleh sukarelawan yang terdiri daripada pelajar Diploma Kejururawatan KPTMKB. Antara yang hadir dalam program ini ialah YB. Dr Asyraf Wajdi bin Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Mantan Yang Dipertua YADIM, YB. Zawawi Hj Othman (ADUN Semerak), Puan Rogayah Abd Rahim (Dekan Fakulti Kejururawatan KPTMKB), YBhg. En Mahadi bin Awang (Pengurus Eksekutif YADIM Zon Timur) dan beberapa orang pegawai YADIM dan KPTM.

Seramai 11 pesakit kronik berjaya didekati oleh para sukarelawan Al-Falah dengan menjalankan pemeriksaan kesihatan kepada para pesakit, memberi khidmat kaunseling serta mengajar para pesakit untuk melaksanakan ibadah ketika sakit.