Latihan Bahasa Melayu Di PSU Pattani

Ditulis oleh Mohd Azuraidi bin Harun on . Posted in Berita Kampus

SABTU, 22 Mac 2014 - Satu program iaitu Latihan Bahasa Melayu Di PSU Pattani telah diadakan. Program ini adalah kerjasama KPTMKB, PSU Kampus Pattani, Pejabat Konsul, Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thai, dan alumni universiti-universiti Malaysia. Program ini diadakan di Kolej Pengajian Islam, Prince of Songkla University, Kampus Pattani. Ia disertai oleh guru-guru pengajian Islam di 5 wilayah selatan Thailand (320 orang dibahagi kepada 3 sesi) dan guru-guru sekolah kerajaan Thailand. Majlis penutup diadakan pada 3 April 2014.

Mengikut Prof Madya Dr. Ibrahim Narongraksakhet (Timbalan Dekan Kolej Pengajian Islam, PSU Pattani), tercetusnya idea ini adalah apabila kerajaan Thai menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu untuk mengajar subjek Pengajian Islam di sekolah kerajaan. Ini kerana sekarang ini, guru-guru agama masih menggunakan bahasa Siam dan penggunaan Bahasa Melayu masih kekurangan. Orang di sini biasa dengan Bahasa Melayu tetapi penggunaannya tidak betul. Usul ini dapat sokongan dari kerajaan Thai dan dana disalurkan melalui Southern Border Province Administrative Centre dan mendapat kerjasama Konsulat Malaysia dan persatuan alumni universitiuniversiti Malaysia. Program ini melibatkan 320 orang guru pengajian Islam di sekolah kerajaan yang mana dari 350 sekolah di wilayah selatan. Selepas ini, sekolah-sekolah akan menggunakan Bahasa Melayu untuk mengajar subjek agama secara berperingkat. Secara keseluruhannya, program ini mendapat sambutan yang baik dari sekolah dan para guru, dan akan ada lagi sambungan program ini bersama KPTM. Kerjasama PSU dan KPTM ini adalah pelopor.

Mengikut Mohd Faizal bin Razali (Konsul Jeneral Malaysia di Wilayah Selatan Thailand) pula, program ini bagus untuk hubungan 2 hala antara dua negara. Wilayah di selatan Thai majoritinya adalah berbangsa Melayu tetapi tidak fasih berbahasa Melayu. Program ini akan mengutuhkan lagi tali persaudaraan antara dua negara seagama. Ini juga sebagai kesinambungan pendidikan kerana Bahasa Melayu adalah bahasa perpaduan. Sebagai persediaan untuk AEC 2015, Bahasa Melayu akan digunakan untuk komunikasi dan urusniaga, dan juga penting untuk IMT-GT (The Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle). Selepas ini guru-guru sekolah agama swasta pula akan diberi kursus Bahasa Melayu. Pihak konsulat menyokong penuh program ini, dan Kementerian Pendidikan Thai menyokong juga. Kerajaan Thai mewajibkan mengajar subjek Pendidikan Islam dalam Bahasa Melayu. Selepas ini, anggota kerajaan Thai termasuk polis dan tentera perlu belajar Bahasa Melayu untuk persediaan AEC 2015 untuk memperkasakan Bahasa Melayu. "Saya ucapkan syabas kepada KPTM kerana yang paling aktif memartabatkan Bahasa Melayu. KPTM melangkah kehadapan, KPTM buat tindakan yang cepat dan proaktif. Saya berharap KPTM dapat memperkembangkan di 14 wilayah di selatan Thailand."

Menurut Ayub bin hj Abdul Latif (peserta), guru-guru agama di Sekolah Rendah Bukit Bangu, Mealan, Pattani, kursus ini adalah terbaik pernah diikuti ikuti. Program ini menarik dari segi penggunaan bahasa, mudah difahami, pendekatan yang digunakan menyeronokkan, LDK akan praktikkan di sekolah nanti.

Menurut Suraya Awang (peserta, Sekolah Rendah Lubok Luas, Mealan, Pattani) pula, program ini bagus kerana dapat ilmu baru, dan tahu guna cara betul. Sebelum ini, Bahasa Melayu hanya diajar di peringkat pra sekolah. Beliau pertama kali menyertai kursus Bahasa Melayu. Segala susunan dan aktiviti sangat bagus. Selepas ini mungkin ditambah slot Bahasa Melayu di sekolah. Sekarang hanya Bahasa Siam dan Arab diajar. Ramai guru yang mengajar kurang fasih Bahasa Melayu. Program ini perlu diadakan lagi.

Dalam temubual bersama Mohamed Saifuddin Hussin (Pengarah KPTM Kota Bharu), secara keseluruhannya berpuas hati dgn program yang pertama kali, akan buat yg lebih baik untuk program akan datang. Beliau berterima kasih kepada semua yang menjayakan program ini.